Transformasi Wanita Malaysia: Suatu Perspektif Geografi Budaya

Transformasi Wanita Malaysia: Suatu Perspektif Geografi Budaya

RM 8.00

ISBN:

978-967-461-226-9

Categories:

General Academics
Lifestyle
Science

File Size

12.67 MB

Format

epub

Language

BM

Release Year

2018
Favorite (0)

Synopsis

"Dalam empat dekad mutakhir ini, wanita Malaysia telah mengalami perubahan sosioekonomi dan budaya seiring dengan perubahan struktur ekonomi negara, iaitu daripada negara berasaskan pertanian kepada negara berasaskan perindustrian dan perkhidmatan. Kesedaran terhadap kepentingan kesihatan ibu dan anak serta kepentingan pendidikan pada awal dekad 1970-an telah membawa kepada perubahan budaya, iaitu mengecilnya saiz keluarga dan meningkatnya taraf pendidikan wanita.Bilangan anak perempuan yang disekolahkan meningkat secara pesat pada dekad 1970-an manakala kemasukan mereka ke sekolah menengah dan universiti semakin meningkat pada dekad 1980-an dan berterusan sehingga kini. Dengan meningkatnya bilangan wanita berpendidikan menengah dan tinggi, semakin ramai wanita menceburi bidang pekerjaan formal, terutama sekali dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan. Pembangunan industri secara besar-besaran di Malaysia pada awal dekad 1970-an telah menyerap sebahagian tenaga kerja wanita berpendidikan menengah sekali gus membawa kepada migrasi wanita dari luar bandar ke bandar. Perubahan sosioekonomi membawa bersama perubahan budaya dalam kehidupan wanita. Ekoran semakin meningkatnya tahap pendidikan dan penglibatan dalam pekerjaan di luar rumah, wanita Malaysia, khasnya wanita Melayu seperti yang difokuskan dalam syarahan ini, menjadi penyumbang penting kepada ekonomi rumah tangga. Strategi kehidupan keluarga Melayu telah berubah selepas dekad 1970-an. Kebanyakan keluarga kini bergantung pada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pendapatan wanita bagi memastikan penerusan kehidupan seharian keluarga. Agihan tugas dalam budaya Melayu, iaitu ‘lelaki penyara keluarga, isteri suri rumah atau pembantu’ walaupun tetap disanjung tinggi masih kurang tepat dalam menggambarkan agihan tugas sebenar bagi kebanyakan keluarga Melayu pada hari ini. Perubahan agihan kerja rumah tangga menjadikan wanita orang yang paling sibuk dengan urusan reproduktif keluarga, tetapi pada masa yang sama mereka giat menjana pendapatan keluarga melalui pekerjaan formal dan tidak formal. Walaupun begitu, budaya yang telah berubah kesan pembangunan perindustrian dan globalisasi tidak semestinya mengubah pegangan budaya orang Melayu yang berasaskan prinsip yang ditetapkan oleh agama yang dianuti, iaitu agama Islam, yakni lelaki (bapa atau suami) ialah penyara keluarga. Wanita Melayu umumnya tetap lebih selesa dengan kenyataan ‘lelaki atau suami ketua (penyara) keluarga, wanita atau isteri pembantu.’ Mereka tidak menyanggah jangkaan budaya, di samping mengutamakan jati diri sebagai wanita beragama Islam yang telah digariskan dengan tugas dan peranan mengikut gender, walaupun dalam kehidupan harian sebenar mereka, agihan tugas tersebut tidak semestinya demikian. Perbezaan tempat tinggal, iaitu bandar dan luar bandar turut memberi kesan kepada transformasi budaya wanita Melayu. Wanita Melayu bandar yang ‘tidak bekerja’ (suri rumah) melakukan pelbagai pekerjaan untuk ‘membantu’ keluarga dan mereka ialah ahli keluarga yang paling sibuk kerana menguruskan kedua-dua pekerjaan, produktif dan reproduktif. Walaupun pemodenan dan globalisasi umumnya berjaya ‘membawa keluar’ wanita dari rumah untuk berkerjaya dalam pelbagai bidang pekerjaan, namun transformasi ini tidak pernah memperkecil peranan reproduktif wanita. Dengan meningkatnya jenis pekerjaan berbantukan teknologi internet, wanita yang ‘bekerja’ dan ‘tidak bekerja’ terus giat mencipta pelbagai pekerjaan baharu bagi menyambut peluang yang ditawarkan oleh kemajuan teknologi. Lantas, dalam budaya yang berubah ini, tugas produktif-reproduktif wanita menjadi bertambah banyak dan penting. Akhirnya jangkaan budaya tentang wanita ialah suri rumah atau pembantu tinggal sebagai mitos budaya sahaja pada hari ini."