BUDAYA ILMU: MAKNA DAN MANIFESTASI DALAM SEJARAH DAN MASA KINI

BUDAYA ILMU: MAKNA DAN MANIFESTASI DALAM SEJARAH DAN MASA KINI

RM 90.00

ISBN:

978-967-14031-3-6

Categories:

Motivation
General Academics
Lifestyle

File Size

31.96 MB

Format

pdf

Language

BM

Release Year

2021
Favorite (39)

Synopsis

Buku ini berasaskan kepada sebuah karya pengarang berjudul Penjelasan Budaya Ilmu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1991. Buku yang tidak sepertinya itu rupa-rupanya mendapat sambutan yang sangat baik dan diulangcetak beberapa kali oleh DBP. Buku Penjelasan Budaya Ilmu itu sebenarnya adalah lanjutan daripada risalah tulisan pengarang yang diterbitkan pada tahun 1988 oleh Nurin Enterprise yang berjudul “Budaya Ilmu: Konsep, Prasyarat dan Pelaksanaannya di Malaysia”. Alhamdulillah, sambutan pelbagai lapisan masyarakat amat baik, khasnya para pendidik, mahasiswa dan pensyarah institusi pengajian tinggi. Sejak itu sehingga Penjelasan Budaya Ilmu diterbitkan oleh DBP, risalah itu telah dicetak sebanyak tiga kali yang berjumlah hampir 10,000 naskhah. Sehubungan dengan itu, ramai sekali pembaca yang meminta pengarang menghuraikan perkara penting ini dengan lebih mendalam lagi. Buku ini akan membicarakan konsep budaya ilmu, ciri- cirinya serta penjelmaannya dalam tamadun terdahulu dan masa kini agar dapat memberikan iktibar bagi kegunaan kita. Buku ini juga membicarakan konsep ilmu dalam Islām dan penjelmaan ciri budaya tersebut dalam sejarah kerana konsep ilmu dalam Islām berbeza daripada yang ada dalam tamadun lain. Buku di tangan pembaca ini mengandungi tiga makalah pengarang yang pernah terbitkan tetapi masih sangat berkait dengan mauduk induk buku asalnya. Iklim Kehidupan Intelektual di Andalusia: Satu Cerminan Islamisasi Dua-Dimensi19 dikira penting kerana ia cuba menjelaskan beberapa aspek budaya ilmu yang menjadi tunjang kekuatan peradaban Islām di Andalusia yang lama dan menarik, dan bagaimana pelemahan sendi-sendi penting budaya ilmu itu kemudiannya menyumbang besar kepada keruntuhan kesatuan, perpecahan politik dan kejatuhan yang sangat menderitakan. Bab Kerangka Komprehensif Pemikiran Melayu Abad ke-17 Masihi Berdasarkan Durr al-Fara’id karya Shaykh Nūr al-Dīn al-Rānīrī20 yang ditulis bersama Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris disertakan kerana ia menunjukkan secara kajian kes terhadap manuskrip penting dari salah seorang sarjana dan penerap ajaran Islām berpengaruh di Alam Melayu pada abad yang sangat gemilang dalam sejarah islamisasi Alam Melayu, iaitu Nūr al-Dīn al-Rānīrī (m. 1658M). Manakala bab Budaya Ilmu dan Perpaduan Negara ialah hasil perubahan kecil monograf berjudul Budaya Ilmu dan Gagasan 1Malaysia21 yang merupakan satu lagi usaha berterusan cadangan pengarang kepada pihak pemerintah Malaysia pada waktu itu tentang bagaimana beberapa aspek budaya ilmu dapat diamalkan bagi menyatukan pelbagai bangsa dan lapisan di Malaysia yang sedang menghadapi cabaran dinamika politik dan kepelbagaian (plurality) yang tidak pernah dihadapi sebegini rancak dalam sejarah negara bertuah ini. Perubahan-perubahan kecil ini dibuat kerana isu-isu utama tentang ilmu, pendidikan dan kepentingan bersama masih lagi sangat relevan walaupun sudah berlaku perubahan besar politik.