Historiografi dan Estetika dalam Manuskrip

Historiografi dan Estetika dalam Manuskrip

RM 30.00

ISBN:

9786294860353

Categories:

General Academics
History

File Size

7.72 MB

Format

epub

Language

BM

Release Year

2024
Favorite (0)

Synopsis

Historiografi dan estetika adalah dua cabang ilmu yang akan ditelusuri menerusi buku ini dengan menggunakan kepelbagaian bentuk genre manuskrip Melayu. Manuskrip Melayu ialah karya bertulisan tangan dengan menggunakan tulisan jawi, yang dihasilkan dalam lingkungan abad ke-14 hingga abad ke-20. Salah satu genre yang sentiasa menarik perhatian sarjana ialah historiografi. Historiografi merupakan sumber sejarah yang sangat penting bagi menggambarkan kehidupan masyarakat pada zaman tersebut. Antara karya historiografi yang sangat terkenal dan menjadi bacaan wajib ialah Hikayat Raja Pasai, Sulalat al-Salatin, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Acheh dan banyak lagi. Kekuatan daaya fikir masyarakat Melayu terserlah dengan penghasilan warisan ketara dan tidak ketara. Menerusi manuskrip Melayu, warisan ketara dapat dilihat dari segi penggunaan elemen estetika. Estetika ialah cabang ilmu falsafah yang mengamati seni dan nilai keindahan dalam sesebuah karya. Ketinggian ilmu masyarakat dalam penghasilan elemen ini terpancar melalui kesepaduan alam flora dan fauna serta pengamatan kepada alam sekeliling. Estetika telah menarik perhatian serta mendorong masyarakat untuk terus mengkaji manuskrip Melayu kerana ia berkemampuan memberi ilham dan dorongan kepada menghargai disiplin ilmu serta memandu tatacara kehidupan menjadi lebih baik. Buku ini adalah hasil koleksi kertas kerja terpilih Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu (SEMALU 2021) yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM), Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM dengan kerjasama Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM pada tahun 2021. Buku Historiografi dan Estetika dalam Manuskrip ini mengandungi himpunan tiga belas bab hasil kajian yang membincangkan pelbagai sudut pandangan oleh sarjana tentang historiografi dan estetika dalam manuskrip Melayu. Penerbitan buku ini adalah suatu usaha untuk mengangkat kearifan tempatan yang terdapat dalam manuskrip Melayu dan seterusnya membuka ruang bagi penelitian lanjut daripada pengkaji manuskrip. Buku ini juga merupakan inisiatif untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang ilmu pengetahuan zaman silam. Penerbitan ini adalah salah satu daripada usaha Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM), Institut Alam dan Tamaduan Melayu, UKM bagi mengangkat penyelidikan manuskrip Melayu sekaligus melestarikan warisan ilmu yang menjadi bukti kepada peradaban alam Melayu.