KISAH MAYAT TAK DITUNTUT

KISAH MAYAT TAK DITUNTUT

RM 25.00

ISBN:

978-629-99476-1-5

Categories:

General Novel
True Crime

File Size

1.41 MB

Format

epub

Language

BM

Release Year

2026
Favorite (0)

Author

N.Q.AKMA

Publisher

N.Q.Akma

Synopsis

Hawa binti Jamil merupakan seorang pelatih industri dalam Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan di sebuah hospital di Muar, Johor. Sebagai pelatih industri dalam bidang Teknologi Maklumat (IT), dia berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang tempoh praktikal. Namun, segala masalah yang dia hadapi, berjaya diatasi dengan baik, berkat tunjuk ajar mentor-mentor dan rakan-rakan sekerja. Setiap pengalaman yang dikutip, mematangkan dirinya. Malangnya, ada insiden yang membuatkan hidupnya huru-hara di bulan-bulan akhir sebelum dia menamatkan praktikal. Segala-galanya bermula dengan insiden Hawa menyentuh jasad mayat lelaki yang tidak dituntut. Sentuhan fizikal itu mewujudkan ikatan spiritual yang luar biasa, menyebabkan jelmaan lelaki itu sering muncul di sisi Hawa. Jelmaan itu bertindak sebagai saksi ghaib yang cuba menuntut keadilan di atas kematiannya sendiri. Momen di mana dia menyentuh mayat tersebut, menjadi titik pertemuan di antara Hawa dengan seorang pegawai polis yang berdedikasi tinggi, bernama Inspektor Azrai. Inspektor Azrai bin Md. Rodzi telah mengetuai siasatan rasmi kes kematian mayat tersebut. Pada mulanya, kes kematian itu diklasifikasikan sebagai kematian yang disebabkan kemalangan. Inspektor Azrai hanya perlu menjalankan prosedur biasa pengebumian mayat mengikut agama anutan si mati. Yang mana dalam kes ini, beragama Kristian. Namun, campurtangan Hawa dengan bantuan jelmaan si mati, menemukan satu maklumat kritikal si mati. Mengikut maklumat yang Hawa beri, si mati sebenarnya sudah memeluk agama Islam beberapa jam sebelum kematiannya. Walau bagaimanapun, pihak polis tidak menemui apa-apa dokumen yang menyokong maklumat yang disampaikan oleh Hawa. Kekalutan ini akhirnya membawa pertemuan mereka dengan Imam Hamidi, iaitu orang yang bertanggungjawab mengislamkan si mati, atau nama Kristiannya, Nicholas Zhang Wei. Inspektor Azrai dan Hawa menyangka mereka telah berhasil memberikan pengakhiran yang baik untuk si mati. Sayangnya, jangkaan mereka meleset kerana sejak daripada penutupan kes tersebut, Azrai telah menemui perkaitan dengan satu lagi kes yang sedang disiasatnya. Kes yang dimaksudkan ialah, kes kehilangan wanita-wanita muda yang juga dikendalikan olehnya sejak berbulan-bulan lamanya. Dalam pada itu, hubungan Azrai dan Hawa juga semakin berkembang hari demi hari. Ikatan emosi mereka sungguh dalam, namun masing-masing faham batas hubungan tersebut. Kehadiran Doktor Rezal di antara mereka secara tidak sengaja mengheret Hawa ke dalam misteri yang melibatkan kehilangan wanita-wanita muda yang pihak polis dapat kenal pasti sebagai bekas pesakit-pesakit Doktor Rezal. Dalam masa yang sama juga, memori jelmaan si mati beransur pulih sedikit demi sedikit. Kini, dia meminta Hawa untuk membela kematiannya. Si mati menamakan Doktor Rezal sebagai pembunuhnya. Kali ini, beban pembuktian berada di bahu Hawa. Dia perlu mencari bukti pembunuhan si mati. Akan tetapi, demi keselamatan Hawa, si mati memintanya menyerahkan segala-galanya kepada Inspektor Azrai. Hawa tidak bersetuju kerana dia mahu turut serta dalam pencarian tersebut dek kerana rasa ingin tahu yang tinggi. Doktor Rezal merupakan seorang pakar perubatan yang memiliki karisma yang tinggi. Namun, tiada siapa pun yang dapat menghidu sisi gelap yang disimpan kemas dan rapi. Keakraban Hawa dengan Doktor Rezal menyebabkan Hawa diperhatikan oleh seseorang yang agak rapat dengan Doktor Rezal, Doktor Ilyana. Doktor Rezal mahu Hawa menjadi miliknya. Namun, dia terpaksa menerima hakikat yang hal itu tidak mudah. Hawa memiliki sistem sokongan yang kuat daripada keluarganya. Malangnya, Doktor Ilyana tidak mengetahui hakikat ini dan terus mensasarkan Hawa. Titik klimaks cerita ini ialah bila Hawa hilang bersama-sama dengan Doktor Ilyana. Doktor muda tersebut bijak memanipulasi keadaan. Niatnya terhadap Hawa gagal dibaca oleh sesiapapun. Inspektor Azrai risau dan memulakan pancarian Hawa. Pencarian mereka membawa kepada penemuan sebuah hospital yang telah berdekad lama ditinggalkan. Di sebalik dinding bangunan yang usang, tersimpan sebuah rahsia besar. Teknologi-teknologi perubatan yang pihak polis temui adalah sangat maju. Inspektor Azrai dan pasukannya menemui bilik rawatan bawah tanah berserta mangsa-mangsa yang ada dalam senarai nama-nama orang hilang. Di sini juga terdedah satu rahsia yang melibatkan teknologi-teknologi baru ( ketika itu, 2007) yang belum pun digunakan secara meluas di Malaysia. Dalam sekumpulan gadis yang mereka temui, Hawa ada bersama. Inspektor Azrai berasa lega kerana menemui Hawa. Namun, dalam masa yang sama, dia juga berasa sedih melihat Hawa dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pihak polis juga menemui ruangan bawah tanah yang mencurigakan di bawah bangsal di belakang bangunan utama hospital. Lebih mendukacitakan apabila mereka turut menemui mayat-mayat yang berpakaian skrub di ruang tersebut. Doktor Ilyana yang licik berjaya meloloskan diri meninggalkan segala-galanya di belakang. Dalam kekalutan itu, identiti Farah masih menjadi tanda tanya. Melalui soal siasat Rezal, pihak polis diberitahu, Farah ialah bekas kekasihnya. Wanita itu telah meninggal dunia akibat mengambil bahan terlarang secara berlebihan. Dia meninggal di Dunedin, New Zealand, bertahun-tahun yang lalu. Namun, cap jari Farah yang ditemui di salah satu tempat kejadian di Malaysia, menimbulkan persoalan-persoalan yang masih tiada jawapan. Keadaan menjadi semakin rumit apabila rakaman kamera litar tertutup yang dipasang oleh si mati di gimnasium milikan bersama dengan Doktor Rezal, ditemui. Rakaman tersebut mendedahkan segala-galanya. Si mati sebenarnya dibunuh oleh Doktor Ilyana menggunakan sebuah dumbbell, manakala Rezal hanyalah kambing hitam. Dia diperangkap oleh Ilyana. Dari situlah pihak polis dapat melihat kelicikan Doktor Ilyana yang memiliki ketinggian yang hampir sama dengan Doktor Rezal. Jawapan tentang lelaki misteri berhoodie yang mereka ekori malam itu terjawab akhirnya. Walaupun bukti video itu membebaskan Rezal daripada tuduhan membunuh, ia tidak membersihkan namanya dalam sistem. Dia masih disiasat sama ada dia mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia tersebut. Doktor Rezal masih disiasat oleh pihak polis. Namun, campurtangan individu-individu yang mempunyai pangkat dan harta, sedikit sebanyak mengganggu proses penyiasatan pihak polis. Setelah diselamatkan, Hawa yang masih dihantui trauma mengambil keputusan untuk berhijrah ke Singapura. Walaupun keputusan itu agak berat, dia perlu mencari ketenangan, sekaligus menjauhkan diri daripada Inspektor Azrai. Azrai yang terkilan, terpaksa menghormati keputusan tersebut dan membenamkan dirinya dengan kerja. Inspektor Azrai perlu menjejak Doktor Ilyana sehingga ke peringkat antarabangsa. Penyiasatan Azrai membawanya ke Dunedin, tempat segala-galanya bermula. Di sana, dia membongkar rekod perubatan Farah. Melalui penyiasatannya daripada pegawai perubatan yang ada masa bedah siasat, pola kecederaan Farah sama dengan mangsa-mangsa di Malaysia. Penggunaan Midazolam menjadi subjek utama penyiasatan Azrai. Dia juga diberi maklumat yang tiada dalam rekod perubatan, iaitu tanda jarum di leher mangsa. Inspektor Azrai mula menyedari bahawa kes ini bukan sekadar dendam peribadi. Dia yakin kes ini melibatkan sebuah organisasi global yang besar dan berpengaruh. Novel ini diakhiri dengan sebuah epilog yang memilukan. Hawa kembali ke Bilik Mayat, namun bukan untuk si mati yang bernama Shahril, atau nama Kristiannya, Nicholas Zhang Wei. Dia dimaklumkan tentang keadaan sebenar SUBJECT 19B yang tewas dalam perjuangan untuk bertahan hidup di bilik rawatan bawah tanah tersebut. Sementara itu di Dunedin, Inspektor Azrai bertembung dengan Doktor Rezal yang rupa-rupanya masih mempunyai kaitan dengan Doktor Callum. Penamat cerita ini meninggalkan seribu satu persoalan tentang kewujudan organisasi yang lebih besar dan nyawa Hawa masih dalam bahaya. Ada pihak-pihak yang memerhatikan dari jauh. Mereka mungkin dapat membongkarkan jenayah tersebut, namun akarnya masih menjalar kuat di serata dunia. Kegiatan mereka mungkin sudah terhenti di Malaysia, namun ini tidak menghentikan mereka daripada mencari mangsa yang seterusnya.